Politeknik Kuala Terengganu dahulunya dikenali sebagai Politeknik Kota Kuala Terengganu (PKKT) mula beroperasi di Bangunan Maktab Perguruan Pasir Panjang dengan berkonsepkan kampus dalam kota. Selepas enam bulan pengoperasiannya, Politeknik Kota Kuala Terengganu berpindah ke tapak lama bangunan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Terengganu yang disewakan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pengambilan pertama PKKT pada Jun 1999 adalah seramai 153 orang bagi Program Sijil Kejuruteraan Awam. Kemudian, berkembang dengan penawaran Sijil Kejuruteraan Mekanikal, Sijil Teknologi Maklumat dan Sijil Elektrik dan Elektronik. Pada tahun 2003, program Sijil Kejuruteraan Awam dan Program Sijil Kejuruteraan Mekanikal telah dipindahkan ke Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA). Pada 27 April 2010, Politeknik Kota Kuala Terengganu telah ditukar namanya kepada Politeknik Kuala Terengganu (PKT).

Berikutan bilangan pelajar yang semakin meningkat, PKT telah mula menyewa beberapa bangunan di sekitar bandar Kuala Terengganu. Sehingga kini PKT, mempunyai lima bangunan sewaan yang menempatkan Bangunan Induk (Pejabat Pengarah, Pentadbiran, HEP, JMSK), Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE), Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK), Jabatan Pengajian Am (JPA) dan Bangunan Latihan. Pada tahun ini (2024), PKT telah meraikan Sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun penubuhannya. Pelbagai pencapaian dan kejayaan yang telah dilakar sepanjang 25 tahun pengoperasiannya.